1. IKHLAS NIAT –
Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan
niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk
mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah
memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka
bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata
tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk
ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya.
Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material
menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk
mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk
menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi
perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa
perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang
mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri.
Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit
kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut
ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri.
Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :………Dan ketahuilah
bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah
kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang
berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang
beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang
benar-benar ikhlas.
2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL -
Sentiasa bersungguh-sungguh dalam
pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari
perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi
dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau
mendengar kaset ceramah agama yang berbahasa Melayu dan sebaiknya
berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang
menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan
hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang
bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya
:”Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui
bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?”. Maka tatkala mereka buat
endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah
tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun
menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga
sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran
daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling
terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi
dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan
perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah
mencontohi ulama’-ulama’ silam yang mana mereka belajar dalam keadaan
susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana
belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya
perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah
bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik
kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu
berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah
ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.
3. MENJAUHI MAKSIAT –
Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf
dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan
yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak
dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan
najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari
kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke
arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk
bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak
endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh
menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman
sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata,
mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan
antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara
yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya
menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan
lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat
berterusan akan menjadi dosa besar.
4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH -
Pilihlah teman yang mampu membawa kita
ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara
satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi
seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap
hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa
bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana
apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati
kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan
dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan
lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta
menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah
kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang
terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah
Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari
itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali
mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita
melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud :
Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang
itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.
5. BANYAKKAN ZIKRULLAH –
Pastikan kita sentiasa solat lima waktu
secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun
ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini
kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh
mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian.
Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan
zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan
memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul
‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu
kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat.
Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia
merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap
gerak kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya
akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.
6. MENJAGA KEHORMATAN-
Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri
dan juga orang lain. Tutup segala ke’aiban diri dan orang lain kerana
ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri
kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan
rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan
seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup
mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan
sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi
adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12
surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman!
jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian
daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan
orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian
yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging
saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA-
Kita hendaklah sentiasa menjaga
perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang
tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan
mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian
mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar
mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa
keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita.
Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud :
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan
sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun
kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan
sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan “uf” dan
janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan
yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh
kasih sayang dan ucaplah : ” Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil”.
8. MENGHORMATI GURU-
Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi
segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti
patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita
pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi’e walaupun berijtihad bahawa
qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika tidak
melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat
itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya.
Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama’ silam begitu menitik
beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi
mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah
terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap
sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja
tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung
sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah
kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara
pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka
terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara
guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam
kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali
keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan
kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam
kehidupan.
9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI -
Kita mengamalkan
segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita.
Ulama’ silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan
tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih
dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari
sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah
juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta
jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan
penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai
barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa
ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu
semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab
atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah
mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat
oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang
dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai
perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat
yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah
tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam
kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu
melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam
ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang
beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar
kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak
kamu kotakan.
Belajarlah dengan niat untuk menuntut ilmu :)
Sesiapa yang belajar ilmu agama bukan tujuam mendapat keredhaan Allah, tetapi bagi mendapat kekayaan dan kedudukan di dunia semata-mata, pada hari Kiamat nanti dia tidak menciumkan bau Syurga


No comments:
Post a Comment