Saturday, 1 September 2012

Kewajipan taat kepada Allah dan Rasul







Taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya adalah sifat mulia yang dituntut bagi diamalkan oleh setiap orang Islam. Taat yang dimaksudkan itu ialah kesetiaan menjunjung serta mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.  Setiap orang Islam dikehendaki menumpukan sepenuh taat setia tanpa sedikit pun berbelah bagi kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Taat setia yang penuh ialah mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Selain taat kepada Allah dan Rasul-Nya, tiap-tiap seorang Islam juga diwajibkan taat dan bertangungjawab kepada ibu bapa, pemerintah, guru, ketua atau pemimpin.
Di dalam kitab suci al-Quran, terdapat berpuluh-puluh firman Allah s.w.t yang memerintahkan manusia agar taat setia mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Demikian juga dengan firman-firman Allah yang memerintahkan manusia agar mentaati ibu bapa, pemerintah, guru dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t yang memerintahkan manusia agar takut dan bertakwa kepada Allah dan mentaati segala perintah-Nya dalam surah Ali Imran ayat 50 dan surah asy-Syu’ra ayat 108, 110, 126, 131, 144, 150, 163 dan 179, iaitu:
“Maka oleh yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.”Selanjutnya firman-firman Allah yang lain memerintah manusia agar taat kepada Allah diiringi perintah agar taat kepada Rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 92 yang bermaksud:
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”
Firman Allah diatas jelas menunjukkan bahawa perintah agar mentaati Allah s.w.t itu adalah perintah yang tegas, tiada sebarang tolak ansur lagi, Jika ada manusia yang enggan mentaati perintah itu maka terpulanglah kepada dirinya sendiri. Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan tanggungjawabnya menyampaikan perintah tersebut dengan jelas dan nyata.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anfal ayat 1 yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu terserah) bagi Allah dan Rasul-Nya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan diantara kamu serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”
Menurut sejarah Islam, firman Alah di atas diturunkan selepas Perang Badar antara umat Islam dengan kafir yang berakhir dengan kemenangan besar di pihak Islam.
Segolongan pemuda Islam yang turut berjuang menyatakan tidak bersetuju jika harta rampasan perang yang diperolehi itu dibahagi sama. Mereka mahu diberikan semua kepada mereka dengan alasan merekalah yang berjuang mati-matian mengalahkan musuh. Itulah sebabnya firman Allah ini diturunkan.
Di dalam firman tersebut, Allah s.w.t memberitahu dengan tegas bahawa penentuan pembahagian harta rampasan perang itu adalah terserah kepada Allah dan Rasul-Nya. Pemuda-pemuda itu tidak berhak hendak menuntut demikian. Mereka diwajibkan taat kepada perintah Allah. Allah s.w.t juga menasihati mereka agar membaiki perhubungan silaturrahim antara mereka sebagai bukti bahawa mereka benar-benar orang yang beriman.
Firman Allah lagi dalam surah Ali Imran ayat 32 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”
Firman Allah ini juga dengan tegasnya menyuruh manusia mentaati segala perintah Allah dan Rasul-Nya tanpa ingkar walau sedikit pun. Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang ingkar, menderhaka atau kafir.
Firman Allah salam surah Ali Imran ayat 132 yang bermaksud:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.”


Thursday, 23 August 2012

Perbezaan Qunut Nazilah dan Qunut Biasa

Qunut ertinya membaca doa kerana sesuatu bala bencana supaya kita dilindungi Allah dari bahaya.


CARA MEMBACA QUNUT NAZILAH

 
Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku’ untuk ‘Itidal.

Doa dibaca ketika berdiri untuk I’tidal. Ada tiga cara membaca doa tersebut. Imam boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:

1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.

2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja sepertimana yang di dalam lampiran

3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah .


Peringatan:

· Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa nazilah ini boleh dibaca selepas solat.

· Imam hendaklah meberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut.



DOA QUNUT NAZILAH

 MAKSUDNYA :
  'Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

QUNUT YANG BIASA DIAMALKAN
Maksudnya:-
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya .
Bacaan Dalam Rumi Dan Maksudnya